Tuesday, March 29, 2011
Marilah Bersama Menuju Kejayaan...
Sayup kedengaran azan suboh berkumandang menghiasi kebeningan pagi .. sejuk, nyaman, menyegarkan. Kedinginan pagi memanggil untuk kita sama menghayati, memahami dan melaksanakan setiap bait-bait laungan azan yang sungguh bersemangat untuk seluruh umat islam bangkit mencipta kecemerlangan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Ya Allah aku memohon keampunanmu dari seluruh jiwa ragaku dosa zahir dan dosa batin yang telah aku lakukan. Subhanallah atas kejadiaan malam dan siang yang silih berganti, Alhamdulillah aku masih ada waktu untuk menebus kesilapanku, Allahuakbar setiap yang aku memandang adalah kebesaranmu. Bersihkan hatiku dari sifat riak, takabur, dengki, khianat, marah , dendam dan kebencian dan kau berikanlah ketenangan kerana ia mewaraskan fikiran, membijaksanakan tindakan. Dalam hati kamu telah ada penyakit lalu Allah tambah penyakit di dalam hati kamu kerana kamu tidak pernah bersyukur dan berterimakasih. Marilah kita jadikan amalan yang kita lakukan sebagai hamba yang beragama islam sebagai alat pembersihan rohani supaya kita boleh bersatu dan bersama menuju kejayaan. Tidak ada manusia yang dilahirkan di dunia ini mahu hidup dalam serba kekurangan, kecacatan, kemiskinanan dan kemelaratan. Jangan jadi islam baka seperti kata Dr Ridhuan Tee. Jadilah islam yang menuntut kebaikan dan berkasih sayang sesama manusia. Berhentilah mencaci hina sesama bangsa, jatuh menjatuh sesama agama, bertelingkah pendapat dosa pahala, makruh dan harus, apa yang perlu kita lihat adalah nasib anak bangsa kerana biarlah hidup berjasa umpamanya semalam nenek moyang kita menanam durian dan hasilnya terus dikecapi generasi hari ini selagi pokok merendang tak menyembah bumi. Mereka di luar sana hanya mengintai peluang, hanya menyimbah minyak di api, bertepuk sorak melihat kelemahan bangsa kita sendiri. Jangan dilupa sejarah perpecahan itu hanya merugikan dan kesannya adalah generasi hari ini. Generasi yang mementingkan diri sendiri tiada jati diri kerana terlupa yang bernyawa pastikan mati menuju kehidupan yang kekal abadi itulah matlamat dalam perancangan kehidupan. Perancangan yang pincang bukan kerana tidak merancang tetapi tidak tahu tujuan merancang. "Nenek moyang kaya raya, tergadai seluruh harta benda, akibat sengketa sesamalah kita, cita lenyap di arus zaman" Contoh jelas di depan mata, bagaimana nasib melayu di Singapura dan nasib mereka di Pulau Mutiara. Pernahkah kita terfikir bagaimana kehebatan Rasullallah menakluk 2/3 dunia tentunya atas kebijaksanaan beliau dan keikhlasan para sahabat yang menyokong beliau. "Menakik pisau diraut, batang mengkibung ku jadikan galah, setitis air kujadikan lautan segumpal tanah ku jadikan daratan...Nun alam terbentang luas ku jadikan guru, guru agama, guru persilatan, guru yang sebenar-benar guru."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment